Sunday, 26 August 2012

Rindu bertandang



Andai aku bisa gubahkan rasa rindu manjadi lagu,
pasti beralun terus tanpa jeda.


Rindu.
Telah aku usir rasa itu dari hadir.
Telah aku padam rindu itu dari wujud.
Telah aku bunuh ia dengan air mata.

Rindu bertandang.
Hadirnya terus menerus.
Membawa rasa yang sama tanpa sedikitpun yang kurang.
Bahkan membiak banyak saban waktu.
Ia datang.

Rindu itu.
Aku usir ia mendekat.
Aku padam dengan api cinta yang marak.
Aku bunuh ia dengan kesetiaan.

Lantas,
akan matikah rindu itu?


Saturday, 11 August 2012

Sebak

Assalamualaikum wbt.
Terima kasih tuhan kerana masih sayang aku.

Dia hairan, kenapa lahirnya dengan hati yang rapuh. Air matanya sungguh mudah menitis. Dia ingin dipeluk dan diusap, sambil ditenteramkan. Dia ingin mendengar seseorang memujuk seraya berkata "jangan menangis, aku ada disisi kau" . Dia ingin seseorang berjuang deminya. Tamakkah dia?

Dia tahu suatu saat, dia bakal kehilangan sesuatu yang beharga dalam hidupnya akibat rasa takut yang menjalar dalam hatinya. Dia tahu tetapi dia masih belum bersedia menghadapi saat itu. Sungguh, dia tahu dan dia takut. Mengalir lagi air mata si dia.

Hari ini, kesabaran si dia tinggal serpih serpih saja. Rapuh sungguh hari ini buat si dia. Bukan dia tidak pernah mengalami masalah, namun sebelum ini, dipujuk hatinya, lelaki itu pasti ada untuk dia. Mententeraman rasa yang gundah dan menukar tangis menjadi senyum dan rindu.

Tapi, bilamana si lelaki yang menjadi penyejuk jiwanya dipadam seketika dalam diari hidupnya, dia buntu dan dia hilang arah. Ingin diluah pada yang lain lainnya, dia tidak pandai. Menangis sendirian lagi akhirnya dia.

Punca tangisan dia?
Ah! dia tidak mahu bercerita lagi. Mungkin malam ini, hatinya masih sebak dan jiwanya masih rapuh. Aku berikan ruang untuk dia bersendirian dahulu. Moga moga hatinya akan tenang dan dia akan mencapai bahagia akhirnya. Doa aku untuk dia.




Thursday, 9 August 2012

Nama dia takut

Antara air dan api, aku pilih air. Antara cinta dan air mata, aku pilih air mata.


Takut.
Aksara yang merayap dalam jiwa dia.
Menjadikan malamnya sepi.
Menjadikan beraninya tiada.
Menjadikan senyumnya herot.
Menjadikan langkahnya pesot.

Takut hilang.
Digenggam kuat, sakit.
Digenggam longgar, cicir.

Takut ditolak.
Rupa yang sederhana.
Kaya yang biasa.
Yang ada, rasa yang menghambat.

Takut Allah.
Yang tidak halal itu haram.
Yang haram itu murkaNya.
Lalu, dia korbankan rasa hanya untukNya.



Rumah rindu


Rindu yang aku labuhkan di sini dalam setiap hela nafasku.
Sungguh tuhan, aku rindu!

Hari aku jatuh cinta


"Jika namamu bahagia, izinkan aku untuk menyentuhmu"


Assalamualaikum wahai lelaki,

Izinkan aku mulakan dengan satu amaran.
"Jangan kau sentuh hati wanita itu"

Bertanyalah si lelaki itu, "kenapa? Bukankah dia perlukan aku?"

Duhai lelaki,
satu sifat wanita yang harus kau fahami,
apabila dia mula menyayangi, maka keseluruhannya dia sayang.
Saat kau membelai jiwanya dengan janji manis dan madah puitis, dia sayang.
Saat kau menghambat hatinya dengan waktu waktu kau yang sibuk, dia sabar.
Saat kau hampakan hatinya dengan janji yang tidak ditunaikan, dia sendirian memujuk.
Saat kau calari hatinya dengan kecurangan, dia hanya mendoakan agar kau bahagia.

Jadi haruskah kau sentuh hatinya hanya untuk mencemarkannya?

.............................................................................................

Satu perkara yang aku cukup berhati hati dalam hidup aku, adalah memberi sayang.
Sekali aku sayang, selamanya aku sayang.
Aku bukan insan sempurna yang berhak untuk mendapat satu jiwa sempurna.
Maka aku sentiasa meletakkan satu benteng dalam hidup aku.
Aku tak akan memberi sayang sebelum kahwin.
Itu janji aku.

Janji yang tidak tertunaikan.

Tarikh : 11/10/2010
Block : CNS Year 3
status ym : lapar

Itu titik mula kalau kau masih ingat.
Hari yang mana janji aku, aku ingkari.
hati yang keras menjadi cair.
Titik mula yang menghilangkan lena dalam tidur, yang menghilangkan kenyang dalam makan, dan menghilangkan fokus dalam konsentrasi.
Titik yang menambahkan senyum dalam kesibukan, yang menambahkan rindu dalam kehilangan.

Hanya dalam satu malam,
cukup untuk buat aku jatuh cinta.

Ya, aku cinta kau!



Wednesday, 8 August 2012

Salam Kenal


Salam Kenal. Nama aku rahsia. Nama pena aku anahana. Aku menulis bukan kerana hobi bahkan aku menulis kerana diri aku. Kadangkala, hati ingin berbicara tapi bimbang disalah erti pada yang membaca. Untuk dipendamkan dalam hati, itu mungkin membuat aku gila. Maka, segala kata hati aku, aku bicarakan di sini kerana disini aku tidak punya siapa kerana nama aku rahsia.

Tarikh ini aku nokhtahkan di sini. Biar menjadi titik mula dalam satu episod hidup aku. Jadi, aku mulakan dengan" Assalamualaikum, boleh kita berkenalan?"